Thursday, March 19, 2009

Adab Pernikahan..~

Bismilahirrahmanirrahim Walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin Wassholatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah amma ba’du…

ADAB PERGAULAN SUAMI-ISTERI SEJAK PERKAHWINAN

Kewajiban suami

Sebagai seorang suami, dia harus memelihara kesederhanaan dan
kesopanan dalam dua belas perkara iaitu:
(1) Walimatul’urus (undangan perkahwinan)
(2) Pergaulan
(3) Bersenda-gurauan
(4) Pimpinan
(5) Kecemburuan
(6) Pemberian Nafkah
(7) Pengajaran
(8) Pembahagian (kalau isteri lebih dari satu)
(9) Pendidikan sewaktu berlaku penyelewengan
(10) Persetubuhan
(11) Kelahiran anak
(12) Perceraian dengan talaq

Pertama: Mengadakan walimah atau undangan adalah sunnat hukumnya. Berkata Anas r.a.: Apabila Rasulullah s.a.w melihat tanda inai pada Abdul Rahman bin Auf r.a., baginda (SAW) bertanya: “Apa ini?” Abdul Rahman menjawab: Saya telah menikmati seorang wanita dengan maskahwin emas seberat biji kurma. Maka Rasulullah s.a.w pun mendoakan bagi Abdul Rahman:
“Moga-moga Allah memberkati anda! Adakanlah walimah, walaupun dengan makan roti dan kurma.”

Selain itu sunnat memberikan tahniah (ucapan selamat pengantin baru) kepada orang yang baru berkahwin. Seorang yang berjumpa dengan pengantin lelaki mengucapkan:
“Moga-moga Allah memberikan keberkahan kepadamu dan keberkahan untukmu dan menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”

Sunnat juga mengisytiharkan perkahwinan kepada orang ramai supaya diketahui. Bersabda Rasulullah (SAW):
“Yang memisahkan antara yang halal dengan yang haram ialah bunyi-bunyian rebana dan nyanyian.”

Kedua: Memelihara pergaulan yang baik dengan isteri-isteri serta menanggung segala keburukan yang mungkin berlaku daripada mereka sebagai menunjukkan tanda belas kasihan terhadap mereka itu.

Allah telah berfirman:
“Dan pergaulilah mereka dengan cara yang baik.” (QS an-Nisa’: 183)

Allah telah berfirman lagi pada menyatakan kebesaran hak mereka ke atas suami:
“Dan mereka sekalian (isteri-isteri) telah mengambil suatu perjanjian yang berat daripada kamu.”
(QS an-Nisa’: 20)

FirmanNya lagi:
“Dan teman yang di samping.” (QS an-Nisa’: 36)

Setengah para mufassirin mengartikan ayat ini dengan isteri yang sering berada di samping suami sepanjang masa.

Maksud memperbaiki pergaulan dengan isteri-isteri itu bukanlah dengan semata-mata menahan diri dari menimpakan ke atas mereka sesuatu yang tiada diingininya, malah menanggung segala yang tiada menyenangkan yang mungkin timbul dari mereka, serta bersifat sabar dan tabah untuk menghadapi segala sikap kurang pertimbangan dan kemarahan mereka. Ini adalah untuk menurut jejak langkah Rasulullah s.a.w. kerana isteri-ister Rasul (SAW) sendiri kadang-kadang melakukan sesuatu yang tiada menyenangkan hati Rasulullah s.a.w dan ada pula yang merajuk meninggalkan baginda sampai sehari suntuk hingga ke malam.

Ketiga: Hendaklah suami menambah atas sikap kurang pertimbangan dari isteri itu dengan bersenda gurau, memuji-muji serta bermain-main dengannya, kerana semua itu akan melembutkan hati kaum wanita. Rasulullah s.a.w seringkali bersenda gurau dengan isteri-isterinya dan menuruti kehendak-kehendak mereka, sesuai dengan kadar akal fikiran mereka dalam segala macam perbuatan dan perilakunya. Sekali peristiwa pernah baginda Rasul (SAW) mengajak Siti Aisyah r.a. melihat permainan orang-orang habsyi di kawasan masjid dan berdirilah baginda di situ menemaninya sebegitu lama sehingga baginda berkata: “Sudah puas?”

Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik sekali terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik sekali di antar kamu terhadap isteriku.”

Berkata Rasulullah s.a.w kepada Jabir:
“Mengapa tidak perawan yang boleh engkau bermain-main dengannya dan ia bermain-main denganmu?”

Seorang wanita dusun telah mensifatkan suaminya yang telah meninggal dunia dengan berkata: Demi Allah, sebenarnya suamiku itu seorang yang sering ketawa ketika di rumah, pendiam ketika di luar rumah, ia makan apa saja yang aku hidangkan (tidak cerewet), tidak pernah bertanya bila sesuatu tidak ada.

No comments:

Post a Comment